Arsene Wenger berkata keutamaan Arsenal adalah mengungguli peringkat kumpulan Liga Juara-Juara bagi mengelak pasukan gergasi seperti Barcelona dan Bayern Munich dalam pusingan 16 pasukan terakhir.

Arsenal kini menerajui Kumpulan A di hadapan Paris Saint-Germain (PSG), selepas meraih keputusan seri 1-1 dengan pasukan ibu kota Paris itu bulan lalu, dan berpeluang untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya apabila berdepan Ludogorets, awal pagi esok.

Kemenangan di Bulgaria sudah memadai buat The Gunners selagi PSG tidak menempa kekalahan di Basel.

Wenger, bagaimanapun, menegaskan matlamat utamanya adalah muncul sebagai pemenang di peringkat kumpulan dalam usahanya mengelak undian sukar dalam pusingan 16 terakhir.

"Menamatkan saingan di tangga teratas adalah matlamat utama kami," katanya dalam sidang akhbar. "Kami sudah berdepan Paris Saint-Germain di tempat lawan, dan akan menentang mereka di laman sendiri.

"Kami berpeluang untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas. Ia satu kelebihan kerana membolehkan kami bermain di laman sendiri dalam pertemuan kedua peringkat 16 pasukan nanti. Jadi anda sudah tahu keputusan yang perlu dicapai di tempat sendiri.

"Anda akan mendapat bantuan sokongan. Jika kami terpaksa bermain dalam masa tambahan ataupun penentuan sepakan penalti, kami bermain di tempat sendiri. Jadi, ia sedikit kelebihan.

"Kalau kami boleh menamatkan kumpulan di tangga teratas, mengapa mahu menamatkannya di tangga kedua? Kami kerap dihukum kerana menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua sehingga terpaksa berdepan Barcelona atau Bayern Munich. Jadi, saya rasa (percaturan) ini adalah penting."

Nacho Monreal, Santi Cazorla, Hector Bellerin dan Theo Walcott terlepas kunjungan ke Bulgaria, namun Wenger tidak begitu risau dengan situasi kecederaan mereka.

"Sesetengah daripada mereka (sudah dekat untuk diturunkan), seperti Walcott," tambahnya. "Bellerin menghadapi masalah semasa persiapan, jadi dia terlepas untuk aksi kali ini.

"Kami akan berdepan beberapa perlawanan besar. Kami perlu meneruskan apa yang telah dilakukan dengan memberi fokus untuk perlawanan seterusnya. Kami akan cuba mencapai kemenangan sebelum aksi menentang Tottenham Hotspur di laman sendiri, Ahad ini.

"Kaedah terbaik untuk bersedia adalah dengan meneruskan aksi cemerlang kami. Adalah penting untuk kekal berwaspada dan yakin.

"Kami mengharungi November yang sukar pada musim-musim lalu, tapi kami juga mempunyai detik positif dalam sejarah kami. Apa yang penting adalah tidak terus dibelenggu masa lalu, kami perlu meneruskan usaha dengan skuad sedia ada.

"Takdir kami terletak pada mental pemain, sejauh mana kami fokus dan dahagakan kejayaan. Kami perlu berbuat demikian untuk setiap perlawanan bermula aksi esok."