Tandukan masa kecederaan Winks julang Tottenham 

By Staff Writer 21 January 2019 537
Tandukan masa kecederaan Winks julang Tottenham 
FULHAM 1 TOTTENHAM 2

Lucas Moura pasti bersedia untuk memperkuatkan barisan Tottenham menjelang pertemuan kedua Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Chelsea, kata Mauricio Pochettino.


Dengan kelibat Harry Kane terpaksa dilupakan ekoran kecederaan buku lali manakala Son Heung-min pula sedang mengharungi Piala Asia 2019, Fernando Llorente menjadi sandaran untuk aksi menentang Fulham dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi. 

Bagaimanapun, penggempur itu menjaringkan gol sendiri dalam babak pertama dan Spurs bergantung kepada jaringan Dele Alli dan Harry Winks yang diledak pada minit ke-93 untuk mempamerkan kebangkitan di Craven Cottage.

Alli tidak dapat meneruskan perlawanan sebelum gol yang disumbangkan Winks itu hadir dan Pochettino menyatakan kebimbangannya terhadap kecederaan hamstring yang melanda tonggak tengah England itu untuk berdepan Chelsea, Jumaat ini, dengan Spurs memiliki kelebihan 1-0 hasil pertemuan pertama.

Namun, Pochettino mengalu-alukan berita kecergasan Lucas.

"Kami akan ke sana (Stamford Bridge) untuk cuba memenangi perlawanan. Ia akan menjadi aksi yang sukar kerana Chelsea adalah pasukan yang sangat baik," katanya kepada pemberita.

"Saya harap keadaan Lucas Moura akan bertambah baik. Dia sudah mula menjalani latihan hari ini tetapi kami enggan mengambil risiko ke atasnya. Oleh itu, kami akan menunggu sehingga dia cergas 100 peratus.

"Dia mungkin akan diletakkan di bangku simpanan, mungkin juga dia akan memulakan perlawanan." 

Llorente terlepas banyak peluang untuk melakar jaringan, namun kemarau jaringannya dalam EPL selama setahun terus berlanjutan.

Pochettino memuji prestasi Llorente, yang kelihatan cenderung untuk berhijrah dalam jendela perpindahan bulan ini sebelum kecederaan yang menimpa Kane, setelah secara terbuka menyatakan keinginan untuk kembali menyertai Athletic Bilbao.

"Saya gembira, sangat gembira," kata Pochettino mengenai persembahan Llorente menentang Fulham.

"Dia membantu pasukan dengan ciri-ciri yang dimilikinya. Dia mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol dan mungkin tidak begitu bernasib baik. Dia sedikit keletihan selepas 90 minit permainan. 

"Dia dalam keadaan baik, saya sangat gembira dengan prestasinya, dia membantu pasukan sepanjang 93 minit perlawanan.

"Dia mempunyai beberapa peluang untuk mencetak gol, itulah perkara yang paling penting. 

"Masanya akan tiba untuk dia menjaringkan gol. Sukar untuk dia beraksi selepas setahun setengah tidak memulakan perlawanan liga. 

"Begitupun, dia berhak diberi peluang, dia seorang yang profesional dan pemain yang baik."
 

About Author

Staff Writer

Comment