Pertahanan, Chris Smalling menyifatkan keputusan Manchester United untuk menurunkan dua penyerang membuahkan hasil ketika meraih kemenangan ke atas Arsenal, kelmarin.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu mencipta kemenangan 3-1 di Stadium Emirates untuk memberikan tekanan kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

United meraih dua gol dalam tempoh 11 minit, dengan Antonio Valencia dan Jesse Lingard meledak gol buat pasukan pelawat dan memaksa pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny dan Shkodran Mustafi, membuat kesilapan.

Arsenal mendominasi perlawanan tetapi serangan balas United yang disempurnakan oleh Lingard, memadamkan kebangkitan Arsenal selepas Alexandre Lacazette merapatkan kedudukan sejurus separuh masa kedua bersambung.

United bertahan hingga tamat perlawanan dengan 10 pemain selepas Paul Pogba dilayangkan kad merah, dan Smalling berasakan keputusan untuk menurunkan Romelu Lukaku dan Anthony Martial sebagai penyerang, menjadi kunci kemenangan mereka.

"Saya berasakan kami meneruskan persembahan cemerlang ketika menang ke atas Watford (4-2), ia dapat dilihat menerusi permainan kami dengan menurunkan dua penyerang," katanya.

"Arsenal lebih biasa bertahan dengan satu penyerang. Kami menurunkan dua dan ia telah memberikan tekanan kepada mereka.

"Kami telah mempamerkan persembahan yang cemerlang, meledak dua gol awal dan Arsenal turut memberikan tekanan kepada kami. Ia merupakan perlawanan yang sangat menarik," katanya.

Smalling memuji pertahanan United, terutama selepas terpaksa beraksi tanpa Pogba.

"Saya berasakan segala-galanya bergantung kepada taktikal kami dan ia membenarkan kami untuk terus bertahan. Mereka menurunkan empat penyerang dalam usaha untuk menembusi kami, setiap pemain United telah memberikan yang terbaik," ujarnya lagi.