Paul Clement percaya Swansea City masih mampu diselamatkan daripada penyingkiran tatkala dia bertekad untuk menggunakan jendela perpindahan sebagai jalan terbaik untuk memperbaiki pasukan itu.

The Swans telah pun mendapatkan khidmat Luciano Narsingh, Martin Olsson dan Tom Carrol setakat ini.

Bekas pembantu jurulatih Real Madrid dan Bayern Munich itu turut dikatakan berminat membawa penyerang Arouna Kone (Everton) dan Leonardo Ulloa (Leicester City), namun menafikan spekulasi itu, sebaliknya mahu memastikan pemain sedia ada, Wayne Routledge dan Federico Fernandez, kekal di Stadium Liberty.

"Kelab ini masih ada peluang untuk kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Kami hanya satu mata daripada pasukan yang menghuni luar dari zon penyingkiran," jelas Clement menjelang aksi berdepan Liverpool esok.

"Situasi mampu berubah sekelip mata. 90 hingga 95 peratus keadaan mampu berubah dengan kemasukan pemain baru.

"Ketika ini, kami dalam situasi yang sukar tetapi kami perlu menilai peluang yang ada dalam membawa masuk pemain yang menjadi sasaran kerana terdapat banyak faktor yang akan menyebabkan perpindahan mampu termeterai atau tidak.

"Kadang-kala segala-galanya mampu berjalan seperti dirancangkan pada hari terakhir perpindahan.

"Saya sedang menggunakan segala maklumat yang telah saya bina selama pengalaman saya di Perancis, Sepanyol dan Jerman.

"Wayne (Routledge) seorang pemain yang bagus -- saya mahu dia kekal. Saya juga berasakan Fernandez tidak akan ke mana-mana."