LIVERPOOL 2 SWANSEA 3

Swansea City mencipta kemenangan sulung di Anfield apabila gol sumbangan Fernando Llorente dan Gylfi Sigurdsson memastikan anak buah Jurgen Klopp tumbang 3-2, malam ini.

Sigurdsson menjadi watak pemusnah apabila menghukum kesilapan Liverpool di bahagian pertahanan untuk menceriakan kem bimbingan Paul Clement itu, sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah The Reds di tempat sendiri sejak Ogos lalu.

Dua peluang menarik yang dihasilkan Adam Lallana dan Tom Carroll menjadi penawar kepada aksi perlahan pada awal permainan, namun perlawanan semakin rancak sebaik Swansea memecah kebuntuan.

Buat kali pertamanya, Llorente meraikan jaringannya di luar Stadium Liberty dengan dia menyumbat dua gol untuk Swansea memimpin permainan sebelum Roberto Firmino menyalakan sisa perjuangan tuan rumah dengan jaringan ketujuhnya dalam saingan liga.

Sentuhan pemain Brazil itu sekali lagi membantu Liverpool untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-69.

Aksi separuh kedua semakin rancak yang menyaksikan Sigurdsson memastikan mata penuh buat Swansea untuk keluar dari zon penyingkiran buat sementara waktu, sementara Liverpool yang menggandakan asakan pada minit-minit terakhir perlawanan semakin tercicir dalam perebutan tempat teratas, apabila dipisahkan tujuh mata dengan Chelsea.