Swansea City memecat Paul Clement selepas menempuhi kesukaran dalam separuh pertama musim ini sehingga menyebabkan mereka terperosok di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL).

Swansea melantik Clement pada Januari tahun lalu selepas memecat Bob Bradley, Clement kemudian memenangi Anugerah Pengurus Terbaik kerana prestasi bulan pertamanya.

Clement berjaya menyelamatkan Swansea daripada penyingkiran pada penghujung musim lalu, namun dia tidak dapat meneruskan prestasi itu dalam kempen 2017-18.

Kekalahan 3-1 kepada Everton -- kekalahan keempat dalam lima perlawanan EPL -- menyebabkan mereka hanya mengumpul 12 mata daripada 18 perlawanan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Swansea tidak mengesahkan siapa yang akan mengendalikan perlawanan pada Sabtu ini berdepan Crystal Palace di tempat sendiri, dengan Tony Pulis disebut-sebut sebagai calon pilihan.

Kenyataan Pengerusi Swansea, Huw Jenkins, berbunyi: "Untuk menukar pengurus, terutama pada pertengahan musim ini adalah perkara terakhir yang kami mahu lakukan.

"Kami mempunyai tiga pengurus yang berbeza musim lalu dan untuk itu, kami semua mahu memberi Paul lebih banyak masa untuk mengubah keadaan.

"Tetapi, kami berasakan kami tidak boleh berlengah lagi dan perlu membuat perubahan, sekaligus memberi kami peluang terbaik bagi peningkatan dan mengubah nasib kami di dasar liga," katanya.