BRIGHTON & HOVE ALBION 2 BOURNEMOUTH 2

Pengurus Brighton & Hove Albion, Chris Hughton, memuji Jose Izquierdo di sebalik pemain sayap itu gagal menyudahkan peluang untuk mereka seri 2-2 dengan Bournemouth, malam tadi.


Pemain antarabangsa Colombia, Izquierdo, menyumbang kepada kedua-dua gol buat tuan rumah di Stadium Amex menerusi Anthony Knockaert dan Glenn Murray.

Bagaimanapun, dia melepaskan peluang terhidang ketika hanya berhadapan dengan penjaga gol tatkala keputusan semasa 2-1 sebelum Callum Wilson menyamakan kedudukan pada minit ke-79 untuk pasukan bimbingan Eddie Howe itu pulang dengan satu mata.

"Dia membuat pilihan yang tepat, sentuhan terakhirnya agak berat, dia melakukan larian yang jauh dan kedudukan mungkin menjadi 3-1 kepada kami atau pihak lawan akan bangkit, "kata Hughton kepada wartawan.

"Ia salah satu daripada beberapa peluang yang baik yang kami miliki dalam permainan yang agak terbuka pada masa-masa tertentu.

"Dia masih menyesuaikan diri, dia mempunyai ciri-ciri tertentu dan apa yang dapat dilakukannya untuk mengucar-ngacirkan pertahanan lawan, khususnya dengan corak permainan kami dan kami memerlukan gerakan-gerakan seumpama itu.

"Secara keseluruhannya, ia bukan sekadar gaya serangannya, dia bekerja keras untuk pasukan," katanya.

Brighton kini mengumpul 23 mata daripada 22 perlawanan, dua mata mengatasi Bournemouth yang masih terancam ke zon penyingkiran.

"Ia adalah perlawanan yang sukar dan kedua-dua pasukan benar-benar mahu menang," kata Howe.

"Kami menyusahkan diri sendiri dengan melepaskan gol awal pada setiap babak dan apabila anda melakukannya, anda sedang mengejar kedudukan."

Howe berasakan usaha Bournemouth dalam melakukannya telah banyak dibantu oleh bekas pemain Liverpool, Jordon Ibe.

"Saya fikir Jordon beraksi sangat baik," katanya. "Dia adalah ancaman sebenar menerusi pergerakannya di padang, dengan bola atau tanpa bola.

"Dia sukar untuk dikawal dan menunjukkan kemampuan teknikal yang hebat di kawasan yang ketat.

"Ia adalah salah satu aksi terbaiknya dan dia bertambah baik dalam setiap perlawanan," tambahnya.