MANCHESTER UNITED 0 BURNLEY 0

Pertahanan Manchester United, Daley Blind, berkata 'sukar untuk percaya' pasukannya seri tanpa jaringan dengan Burnley dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford.

United memiliki 37 peluang, 11 daripadanya menemui sasaran, namun penjaga gol Burnley, Tom Heaton, mempamerkan aksi yang mantap manakala pasukan tuan rumah terpaksa menamatkan saingan dengan 10 pemain selepas Ander Herrera dilayangkan dua kad kuning.

Zlatan Ibrahimovic gagal menyempurnakan peluang pada saat akhir perlawanan hasil hantaran silang Paul Pogba.

Blind berasakan pasukannya telah mencipta peluang sebanyak yang mungkin untuk memenangi perlawanan ini.

"Sukar untuk mempercayai keputusan ini," kata Blind. "Saya rasa kami telah mencipta 15 peluang atau lebih lagi. Saya tidak sangka kami hanya seri dalam perlawanan ini.

"Penjaga gol Burnley, Heaton, telah bermain dengan baik tetapi kami seharusnya menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol."

United kini tanpa sebarang kemenangan dalam empat perlawanan -- mereka juga gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan sebelum ini -- tapi Blind berasakan setiap pemain telah memberikan yang terbaik.

"Saya berpendapat kami beraksi sebagai satu pasukan dengan sangat baik, kami sangat positif dan melancarkan banyak serangan," kata pemain kebangsaan Belanda itu.