Alisson mendedahkan aksi Liga Juara-Juara Eropah di Anfield musim lalu telah meyakinkannya untuk melengkapkan rekod perpindahan dunia ke Liverpool.

Penjaga gol berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak jangka panjang bersama pasukan Liga Perdana Inggeris itu Khamis lalu selepas AS Roma bersetuju untuk menjualnya pada nilai awal GBP56 juta (RM298 juta).

Nilai itu muncul selaku penjaga gol termahal dalam sejarah bola sepak dan mampu menambah GBP9 juta lagi (RM48 juta), bergantung kepada persembahannya.

Jurgen Klopp menyifatkan pemain Brazil itu sebagai salah seorang pemain terbaik dunia walaupun menyaksikannya melepaskan tujuh gol dalam dua pertemuan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Walaupun tunduk 5-2 di Anfield sehingga menyebabkan harapan Roma untuk meneruskan laluan musnah, Alisson mendedahkan kenangan dalam perlawanan pada April lalu itu telah mempengaruhi keputusannya untuk menyertai pasukan bimbingan Klopp itu.

"Ya, ia memainkan peranan dalam keputusan saya," katanya kepada laman web rasmi Liverpool.

"Apabila anda melakukan keputusan penting seperti ini, ia bukan sekadar bertukar kelab tetapi secara tidak langsung mengubah hidup anda, keluarga, isteri serta anak.

"Perlawanan itu jelas memainkan peranan tetapi saya juga ada menonton aksi lain. Saya menyaksikan perlawanan lain dan mengenal pasti corak permainan mereka.

"Sebab itu saya gembira untuk berada dalam kelompok ini."

Alisson yang sebelum ini menyarung jersi Internacional di tanah kelahirannya, melakukan penampilan dalam kesemua lima perlawanan Brazil dalam Piala Dunia 2018.