Denis Suarez bersetuju menyertai Arsenal secara pinjaman sehingga akhir musim ini dan dalam masa yang sama melanjutkan kontraknya dengan Barcelona sehingga Jun 2021, demikian umum juara LaLiga itu.

Bekas pemain tengah Manchester City dan Villarreal itu hangat dikaitkan untuk kembali bersatu dengan bekas pengurusnya di Sevilla, Unai Emery, sepanjang jendela perpindahan bulan ini.

Arsenal akan membayar gaji Suarez sepanjang tempoh di Stadium Emirates dengan pilihan untuk mengikatnya meskipun Barca telah melanjutkan perjanjian dengan pemain berusia 25 tahun itu selama 12 bulan lagi.

Sejak gergasi Catalan itu mengaktifkan klausa pembelian semula ke atas Suarez daripada Villarreal pada 2016, Suarez hanya membuat 71 penampilan dalam kesemua pertandingan dan mencetak lapan gol.

Langkah itu merupakan satu-satunya proses perpindahan musim sejuk melibatkan Arsenal setakat ini dan yang pertama sejak ketua pencari bakat, Sven Mislintat, mengumumkan akan meninggalkan kelab itu pada 8 Februari ini.

Selain itu, Emery juga sedang memantau pasaran dengan posisi bahagian sayap menjadi tumpuan khusus, dengan spekulasi sejak beberapa hari ini mengaitkan kelab London itu dengan pemain Inter Milan, Ivan Perisic, di samping pemain Belgium, Yannick Carrasco, yang beraksi dengan Dalian Yifang dalam kancah Liga Super China.