Penggempur Liverpool, Daniel Sturridge, bersedia untuk melayani kunjungan Crystal Palace selepas pulih daripada kecederaan paha yang menimpannya sejak pra-musim lalu.

Jurgen Klopp mengesahkan pemain berusia 27 tahun itu boleh diturunkan dalam aksi pertama di tempat sendiri bagi aksi liga musim ini untuk membentuk serangan selepas seri 3-3 dengan Watford.

Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah kesemuanya mencetak nama selaku penjaring di Vicarage Road ketika mereka seri dalam aksi menarik itu.

Dengan pemain buruan Barcelona, Philippe Coutinho, masih tersisih akibat kecederaan belakang, Klopp optimis terhadap khidmat Sturridge untuk menajamkan serangannya.

"Ya, dia sudah bersedia," kata Klopp.

"Dia mengikuti latihan penuh dan kelihatan bagus semalam.

"Menjadi kebiasaan untuk tunggu dan lihat bagaimana pemain berdepan beban tugas ini selepas tercedera."

Selepas menyaksikan kerapuhan pertahanannya dalam aksi sulung, Klopp enggan mengetepikan kemungkinan mendapatkan pemain baru ketika jendela perpindahan masih terbuka.

Southampton menolak dua tawaran mereka ke atas Virgil van Dijk, sekaligus meninggalkan hanya Andrew Robertson sebagai pilihan alternatif di bahagian pertahanan.

"Malangnya, bahasa Inggeris saya tidak cukup bagus untuk memberikan 500 jawapan berbeza kepada soalan yang sama.

"Tetapi jika pintu perpindahan berakhir semalam, kami sudah mempunyai pasukan idaman saya.

"Tempoh perpindahan sangat penting tetapi adalah penting juga buat kami melakukan sesuatu dengan pasukan semasa.

"Apa sahaja boleh berlaku. Semuanya menjurus kepada 31 Ogos nanti. Ia akan menjadi hari yang sibuk, saya tidak pasti sama ada kami akan terlibat."