John Stones sudah bersedia untuk bersaing merebut kedudukannya di Manchester City selepas gagal memenanginya musim lalu.

Stones memulakan 20 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan pasukan kendalian Pep Guardiola itu mengekalkan gelaran.

Namun, pada penghujung kempen, Stones hanya memanaskan bangku simpanan dan Guardiola sebaliknya memberi kepercayaan kepada ketua pasukannya, Vincent Kompany, yang membuktikan kredibilitinya ketika menjadi wira dalam kemenangan ke atas Leicester City.

Prestasi Stones kemudian kelihatan berkarat dalam aksi antarabangsa bersama England yang menyaksikan pasukan bimbingan Gareth Southgate itu tewas kepada Belanda dalam aksi separuh akhir sebelum menewaskan Switzerland untuk menduduki tempat ketiga Liga Negara-Negara Eropah.

Keputusan Kompany untuk menyertai Anderlecht sebagai pengurus merangkap pemain juga boleh membuka pintu untuk Stones kembali memperkuatkan City, tambahan pula tiada pemain lain dimasukkan sebagai pengganti tonggak Belgium berkenaan.

"Saya menyelaminya ketika bercuti dan memikirkan sedalam-dalamnya," kata Stones kepada wartawan. "Saya akan kembali musim ini untuk merebut kesebelasan utama dan membuktikan keupayaan.

"Saya pasti bahawa saya akan mempunyai kekuatan mental untuk memperbaikinya dan bersikap jujur ​​apabila melakukan kesilapan.

"Dua bulan terakhir adalah mengecewakan buat saya tetapi mana-mana pemain yang tidak diturunkan, pasti akan kecewa. Anda perlu menghormati pengurus.

"Saya mahu beraksi dan cuba memberi impak dalam perlawanan, namun saya perlu beraksi secara kerap.

"Ini mengenai pasukan secara keseluruhannya dan bukan mengenai John Stones atau sesiapa sahaja. Sebab itulah, kami memenangi empat trofi musim lalu."

City mengikat Rodri dalam skuad yang penuh bakat itu dan Stones berharap untuk menyambung semula aksinya.

"Kehadiran muka baru adalah bagus dan jelas sekali kelab mahu bergerak ke arah yang betul, iaitu menandatangani pemain muda," katanya.

"Ketika ini, kami mempunyai skuad muda. kami masih menantikan beberapa pemain kembali daripada Copa America 2019 serta Riyad Mahrez yang masih segar dengan kemenangan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019. Skuad utama belum kembali sepenuhnya sedangkan kami akan menghadapi kempen pra-musim.

"Pemain-pemain baru akan berusaha menyesuaikan diri sebelum lebih ramai pemain akan menyusul melaporkan diri. Ini tempoh yang mengujakan buat kami."