John Stones bakal terlepas lagi aksi bersama Manchester City berdepan Bournemouth tetapi Oleksandr Zinchenko cergas untuk turun beraksi esok.

Pertahanan England, Stones, tidak terlibat ketika berdepan Tottenham dalam aksi Liga Perdana Inggeris minggu lalu ekoran kecederaan paha, dengan Nicolas Otamendi dipilih bergandingan dengan Aymeric Laporte.

Otamendi-Laporte dijangka sekali lagi turun beraksi untuk City minggu ini dan pengendali pasukan, Pep Guardiola, menawarkan perkembangan mengenai Stones yang perlu direhatkan lagi.

"Dia masih belum cergas untuk beraksi minggu ini," kata Guardiola.

Bagaimanapun, City menerima perkhabaran baik mengenai tahap kecergasan Zinchenko yang kelihatan bergelut ketika seri 2-2 dengan Spurs.

Guardiola mengesahkan pemain berusia 22 tahun itu sekadar mengalami kekejangan otot dan bakal turun berdepan Bournemouth.

"Dia telah menjalani latihan bersama kami dan dia sekadar mengalami kekejangan otot.

"Berdepan Spurs merupakan aksi yang sukar. Kami telah beraksi cemerlang berdepan Liverpool (dalam aksi Perisai Komuniti) dan pemain mula kepenatan.

"Jika kami lebih tajam dalam kotak penalti, ia akan memudahkan tugas pasukan. Ia merupakan satu perlawanan yang sengit.

"Buat masa ini, Zinchenko belum mendapat rentak bermain dalam jadual yang padat dan ya, dia sekadar mengalami kekejangan otot."