Stoke City melantik Paul Lambert sebagai pengurus baru dalam perjanjian selama dua setengah tahun.

Lambert menggantikan Mark Hughes selepas pengurus dari Wales itu dipecat berikutan lapan kekalahan dalam 11 perlawanan terakhir mereka, termasuk keputusan memalukan tewas kepada wakil liga divisyen dua, Coventry City, dalam pusingan ketiga Piala FA.

Lambert yang sekadar memerhati ketika mereka berkunjung ke Manchester United awal pagi tadi, bersedia untuk menangani skuad itu ketika menghadapi Huddersfield Town, Sabtu ini.

Ahli lembaga pengarah The Potters memutuskan untuk melantik Lambert yang pernah membimbing Norwich City dari liga divisyen satu ke saingan tertinggi sebelum mengharungi detik mengecewakan di Aston Villa, Blackburn Rovers dan Wolves.

Pengerusi, Peter Coates, memberitahu laman sesawang rasmi Stoke: "Paul sangat mengagumi skuad ini dan mempunyai perancangan yang jelas untuk meningkatkan persembahan kami.

"Sebagai bekas pemain, dia mempunyai reputasi ketika dia menolak tawaran kontrak di Scotland untuk mencuba nasib dalam Bundesliga bersama Borussia Dortmund. Jelas sekali dia mengamalkan pendekatan yang sama sebagai pengurus."

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, John Coates, menambah: "Paul berjaya dalam bidang pengurusan di kelab dengan latar belakang yang mantap dan stabil menerusi bakat tempatan -- ia adalah asas yang mampu kami sediakan buat pengurus kami.

"Kami bertekad untuk melantik seseorang yang berpengalaman dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) atau berpengetahuan luas mengenai bola sepak Inggeris. Kami berharap dapat bekerja dengan Paul dan menyokongnya untuk membantu mencapai matlamat kami."

Stoke kini dalam zon penyingkiran, satu mata dipisahkan dengan pasukan di atasnya, Southampton.