STOKE CITY 1 CRYSTAL PALACE 2

Stoke City tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris selepas mengalami kekalahan 2-1 kepada Crystal Palace di Stadium Britannia, malam ini.


Xherdan Shaqiri menyuntik harapan kelangsungan hidup Stoke apabila menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-43 tetapi akur dengan kebangkitan dan kesegeraan yang ditunjukkan skuad Roy Hodgson itu dalam separuh masa kedua.

James McArthur, yang menjaringkan gol dalam kemenangan 5-0 ke atas Leicester City pada hujung minggu lalu, melakukan penyudah menarik untuk mengimbangi kedudukan buat Crystal Palace pada minit ke-68.

Jaringan itu terus menyuntik kemaraan Palace untuk menggandakan kelebihan empat minit sebelum tamat.

Patrick van Aanholt, yang juga mencipta gol ketika menentang The Foxes, memanfaatkan peluang daripada kelonggaran pertahanan skuad Paul Lambert itu bagi mengecewakan Jack Butland.

Keputusan itu melanjutkan kemarau kemenangan kepada 13 perlawanan buat Stoke -- prestasi yang menyebabkan mereka tersingkir ke Liga Kejuaraan selepas 10 musim berada dalam liga utama England.