Pep Guardiola percaya pemain sayap Manchester United, Raheem Sterling, mampu muncul sebagai salah seorang pemain terbaik dunia jika dia meningkatkan sentuhan di depan gol.

Sterling melengkapkan kemenangan 3-1 City ke atas Tottenham Hotspur di Wembley pada awal pagi tadi untuk membuatkan Citizens hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan liga, musim ini.

Bagaimanapun, sama seperti ketika tewas di tangan Manchester United pada minggu lalu, pemain England itu melepaskan banyak peluang keemasan.

"Apabila dia memperbaiki sentuhannya di depan gawang, dia akan muncul sebagai salah seorang pemain terbaik dunia," kata Guardiola.

"Dia memiliki segalanya. Pejuang, dinamik, Sterling sangat bagus tetapi dia harus meningkatkannya.

"Sterling mencipta banyak peluang dan telah melepasi tahap biasa tetapi dia masih muda dan mampu berkembang lebih baik."

Dalam masa sama, pengurus dari Sepanyol itu gembira melihat anak-anak buahnya tampil cemerlang sejak awal aksi di Wembley, termasuk percubaan voli Leroy Sane yang terkena tiang sebelum Gabriel Jesus membuka tirai jaringan.

"Selepas apa yang berlaku sebelum ini, aksi yang kami tampilkan apabila berdepan Spurs, yang merupakan pasukan yang dikendalikan salah seorang pengurus terbaik, sangat bagus.

"Mereka menunjukkan melalui reaksi yang ditunjukkan, ia hebat. Apa yang mereka lalui sebelum ini agak tidak adil.

"Kami akan meraih satu lagi peluang apabila bertemu Swansea City selepas ini dan kami akan cuba untuk bergelar juara."