HUDDERSFIELD TOWN 1 MANCHESTERY CITY 2

Jaringan Raheem Sterling di penghujung permainan memberikan kemenangan 2-1 kepada Manchester City ke atas Huddersfield Town untuk mencipta rekod baru dengan 11 kemenangan berturut-turut, semalam.


City hampir kehilangan mata dalam saingan liga buat kali pertama sejak 21 Ogos lalu tetapi jaringan Sterling enam minit sebelum perlawanan berakhir memberikan kemenangan buat skuad kendalian Pep Guardiola, merekodkan kemenangan ke-11 berturut-turut buat kelab itu.

City mendominasi separuh masa pertama dan sentiasa dilihat memberikan ancaman setiap kali David Silva mengawal bola apabila pemain kebangsaan Sepanyol itu menghasilkan beberapa peluang untuk membuka jaringan.

Bagaimanapun, City melepaskan banyak peluang dan Huddersfield dihadiahkan gol pendahuluan apabila Nicolas Otamendi tertampan bola masuk ke dalam gawang sendiri.

City bangkit menyamakan kedudukan sejurus perlawanan bersambung apabila Sergio Aguero menyempurnakan sepakan penalti dan Leroy Sane hampir menggandakan jaringan apabila percubaannya menggegarkan palang gol.

Pendahulu EPL itu terus memberikan tekanan kepada tuan rumah hingga penghujung permainan untuk Sterling meledak gol kemenangan dan memastikan jurang lapan mata dan melakar kemenangan ke-11 buat City.