Leroy Sane memuji rakan gandingannya di Manchester City, Raheem Sterling, yang disifatkannya mampu menjadi yang terbaik pada masa akan datang.

Sterling menjaringkan 18 gol yang membantu City menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu dengan kelebihan 19 mata di depan Manchester United.

Penyerang kebangsaan England itu berpeluang untuk memperbaiki catatan tersebut selepas menjaringkan 14 gol dalam saingan liga musim ini.

Sane berasakan kejayaan rakan penyerangnya itu berpunca daripada usaha keras yang membantunya menjadi lebih tajam di depan gawang lawan.

"Dia menjaringkan banyak gol dan membantu kami dalam pelbagai situasi," katanya kepada City TV.

"Dia seorang individu yang baik dan merendah diri, namun dia sentiasa bermotivasi dalam meningkatkan keupayaannya.

"Itu yang menjadikannya lebih baik dari semasa ke semasa.

"Jika dia meneruskan usaha itu untuk tahun-tahun yang akan datang, dia pasti akan menjadi pemain terbaik.

"Dia menyudahkan setiap peluang yang dimiliki sepanjang musim ini.

"Apa yang pasti, dia lebih bagus berbanding musim lalu," tambahnya.

Sane bergelut dalam merebut kesebelasan utama musim ini selepas kehadiran Riyad Mahrez ke dalam pasukan.

Namun, dia kembali menemui sentuhan terbaik selepas menjaringkan lima gol dalam tujuh penampilan terakhirnya bersama City.

Walaupun gagal menghasilkan sebarang jaringan ketika pasukannya tewas 0-2 kepada Chelsea minggu lalu, Sane beranggapan kekalahan itu menjadi motivasi terbaik buat keseluruhan pasukannya.

"Kami meraih banyak kemenangan dan sentiasa memperbaiki kesilapan.

"Walaupun tewas kepada Chelsea, kami mempelajari sesuatu daripada kekalahan itu.

"Kami memaparkan aksi yang baik dan memperoleh peluang untuk menjaringkan gol.

"Kami gagal, namun kami tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini," katanya.

City ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Mereka akan menanti kunjungan Crystal Palace bagi aksi Liga Perdana Inggeris, malam ini.