Pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling, memuji peranan pengendali pasukan, Pep Guardiola, selepas mempamerkan aksi memberangsangkan pada awal musim.

Ketika di bawah kendalian Manuel Pellegrini, Sterling gagal menonjolkan kualiti sebenar yang dimiliki, sebelum dikritik hebat ketika beraksi dalam Euro 2016 bersama England.

Namun, bekas pemain Liverpool itu menyerlah di bawah pimpinan Guardiola dan telah mencetak empat gol dalam aksi Liga Perdana.

Pemain berusia 21 tahun itu menemui sasaran ketika menewaskan Swansea 3-1 dan menyifatkan prestasi cemerlangnya terhasil daripada percaturan Guardiola.

"Saya perlu terus menjaringkan gol, ia merupakan perkara yang paling penting buat saya ketika beraksi di atas padang. Saya kecewa dengan musim lalu kerana tidak berpeluang mempamerkan kualiti sebenar," kata Sterling.

"Saya perlu tenang di dalam kotak penalti dan terus mencuba menjaringkan gol sebanyak yang mungkin untuk pasukan.

"Guardiola memberitahu saya supaya menikmati saat menjaringkan gol, menikmati cara menyumbat bola dan melihatnya masuk ke dalam gawang gol.

"Beliau telah memberikan keyakinan serta motivasi kepada setiap pemain dan itu telah membantu pasukan untuk menghasilkan keputusan yang cemerlang."