Manchester City mengesahkan Raheem Sterling telah memeterai kontrak lanjutan selama tiga tahun lagi untuk kekal bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sehingga penghujung musim 2022-23.

Sterling memainkan peranan penting dalam kejayaan mereka meraih kejuaraan domestik musim lalu dengan meledak 18 gol serta mencipta 11 gerakan jaringan.

Dia telah memulakan kempen baru dengan hebat apabila memainkan peranan dengan mencipta 11 gerakan gol dalam hanya sembilan aksi liga untuk meletakkan City di puncak menjelang aksi 'derby' Manchester, awal pagi Isnin ini.

Kontrak terdahulu pemain itu akan tamat pada 2020 dan perbincangan mengenai pembaharuan perjanjian tersebut dilaporkan telah berlangsung sejak beberapa bulan lalu.

Penyerang berusia 23 tahun itu berhijrah ke City daripada Liverpool pada 2015 dengan kesepakatan bernilai hampir £50 juta (RM271.5j).

Pengenalan Pep Guardiola sebagai pengurus pada 2016 memberi kesan yang sangat penting terhadap perkembangan Sterling setelah dikritik hebat berikutan aksi kurang konsisten di penghujung musim.

"Saya gembira untuk menandatangani kontrak baru," kata pemain antarabangsa England itu. "Perkembangan karier saya di sini telah menjadi luar biasa.

"Saya dapat rasakan ia keputusan yang tepat sebaik saya tiba di sini. Ia membawa pulangan dan saya sangat sangat berterima kasih."

Pengarah Bola Sepak, Txiki Begiristain, menambah: "Ini adalah detik penting untuk kelab ini. Prestasi Raheem telah meningkat secara dramatik dalam tempoh dua musim lalu dan dia kini muncul salah seorang penyerang terbaik Liga Perdana, statistiknya menceritakan kisah tersendiri.

"Dia pantas, kuat dan cemerlang di depan gawang -- dia mempunyai segala yang diperlukan sebagai penggempur era moden. Kami gembira dia telah memuktamadkan masa depannya di City."

Kontrak baru Sterling itu dilaporkan menjadikannya pemain Britain yang menerima bayaran paling tinggi di dunia, iaitu £300,000 (RM1.6j) seminggu.