Raheem Sterling percaya Manchester City semakin berada dalam prestasi terbaik sejak berada di bawah kendalian Pep Guardiola selepas meraih kemenangan 3-1 di Swansea malam tadi.

City, yang telah memenangi kesemua perlawanan sejak Guardiola mengambil alih pasukan pada akhir musim lalu, memperoleh kelebihan empat mata dan berada di puncak carta Liga Perdana selepas enam perlawanan.

Pemain sayap England, Sterling, telah memainkan peranan yang penting dalam permulaan baik pasukan dan memuji Guardiola berikutan kejayaan terbaru mereka di Stadium Liberty.

"Keserasian di antara pemain dan pengurus semakin berkembang, sesuatu yang dilihat cukup baik," katanya.

"Ia perlawanan di tempat lawan yang sukar dan kami berkerja keras untuk mendapat kemenangan dan kami layak untuk menang.

"Kepada seluruh skuad, dia sentiasa memberikan keyakinan kepada kami. Motivasi yang sering dia berikan kepada kami benar-benar berguna.

"Dia mahu kami menghasilkan keputusan yang baik. Dia tidak terlalu teruja, dia hanya mahu kami terus memenangi perlawanan."

Sterling menjaringkan gol keempatnya musim ini menentang Swansea manakala Sergio Aguero telah mengumpul keseluruhan 11 jumlah jaringan dalam semua perlawanan.

Dan bekas pemain Liverpool itu gembira untuk menyertai rakan sepasukannya dalam senarai penjaring.

"[Aguero] sangat seronok untuk bermain dengannya, dia seorang pemain yang menjaringkan gol," katanya. "Dia seorang pemain yang sering mencipta peluang dan dia juga menggunakan peluang tersebut.

"Apabila saya berkira-kira untuk mencari gol [gol ketiga] saya melihat dia di tengah-tengah padang, dan saya memutuskan untuk mengambil peluang tersebut. Itulah yang kadang-kadang dapat saya lakukan.

"Gol pertama adalah luar biasa -- sentuhan pertama dan jaringan terhasil. Itulah yang Sergio mampu untuk berikan kepada anda. Dia sangat berbisa di dalam kotak penalti dan penyudahannya sangat mengagumkan."