Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, bercadang untuk mendapatkan nasihat perundangan sebelum memutuskan untuk menurunkan pemain pertahanan, Joel Matip.

Khidmat pemain Cameroon itu boleh digunakan selepas dia terlepas untuk menyertai Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika.

Justeru, The Reds masih menanti penjelasan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menentukan kedudukannya selepas tercicir bersama skuad kebangsaannya.

Klopp berkata dia perlu mendapatkan bantuan guaman sebelum membuat sebarang keputusan untuk persediaan menentang Plymouth Argyle dalam aksi Piala FA, awal pagi esok.

"Sudah tentu saya perlukan nasihat. Saya bukannya peguam, tapi saya yang akan membuat keputusan," katanya kepada akhbar di United Kingdom.

"Saya tidak boleh menyenaraikannya, (namun) saya tidak fikir pengadil akan melarangnya daripada diturunkan.

"Kami bercakap mengenai perkara ini sudah berminggu-minggu. Proses perpindahan pun berjalan lebih lancar daripada hal ini.

"Ia berlarutan sudah terlalu lama dan keadaan di sini semakin tegang. Kami telah mencuba pelbagai cara, namun pada akhirnya saya perlu membuat keputusan."

Klopp bimbang isu itu boleh mengundang hukuman ke atas Liverpool, termasuk disingkirkan daripada kejohanan itu seandainya Liverpool membenarkan Matip beraksi.

Sehubungan itu, pengurus berbangsa Jerman itu masih belum pasti sejauh mana impak isu berkenaan terhadap pasukannya.

"Ia hal yang berbeza, kami tidak pasti," kata Klopp lagi.

"Acap kali anda tahu apa kesannya jika melakukan perkara ini. Tapi, ia tidak 100 peratus jelas apa yang akan berlaku."

Liverpool akan bertandang ke Swansea bagi kempen liga, Sabtu ini.