Bekas penyerang England dan Tottenham Hotspur, Gary Lineker, berkata pasukan London itu tidak mungkin akan menemui pengurus yang lebih baik daripada Mauricio Pochettino selepas jurulatih berbangsa Argentina itu dilucutkan jawatan.

Spurs mengesahkan pemecatan Pochettino berserta staf kejurulatihannya, Jesus Perez, Miguel D'Agostino dan Antoni Jimenez, menerusi satu kenyataan awal pagi tadi.

Ia selepas pasukan itu bermula goyah musim ini dengan hanya memenangi tiga daripada 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris selain dimalukan dengan kekalahan 7-2 kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Walaupun tidak dapat menjulang sebarang trofi sepanjang lima setengah tahun bersama kelab London Utara itu, Pochettino memastikan Spurs berada dalam kelompok empat teratas liga dalam empat musim berturut-turut selain mara ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Dalam satu ciapan Twitter, Lineker berkata: "Mauricio Pochettino telah dipecat oleh @SpursOfficial. Dia membantu kelab itu untuk meningkat melampaui kemampuan mereka selama bertahun-tahun.

"Semoga berjaya dalam mencari pengganti yang lebih baik....ia tidak akan berlaku."

Spurs akan bertemu West Ham dalam Liga Perdana hujung minggu ini.

Mereka sedang menduduki tangga ke-14 dengan ketinggalan 11 mata daripada slot ke Liga Juara-Juara.