Tottenham Hotspur masih mengimpikan untuk menjulang kejayaan Liga Perdana Inggeris (EPL), kata pemain pertahanan, Jan Vertonghen.

Spurs hampir tercicir dalam perebutan trofi EPL semalam ekoran ketinggalan 1-0 kepada Swansea City ketika permainan menuju minit-minit akhir perlawanan.

Bagaimanapun, gol penyamaan Dele Alli pada minit ke-88 mencetuskan kebangkitan menakjubkan apabila jaringan Son Heung-min dan Christian Eriksen pula menyusul untuk mereka meraih kemenangan dramatik 3-1.

Sehubungan itu, jurang di antara Spurs dan Chelsea kekal tujuh mata dengan baki lapan perlawanan selepas anak buah Antonio Conte meraih kemenangan 2-1 ke atas Manchester City tetapi Vertonghen berharap lebih banyak perkara yang tidak diduga akan berlaku pada masa akan datang.

"Chelsea dalam kemuncak prestasi tetapi kami tidak boleh berhenti berjuang dan memasang impian," kata pemain antarabangsa Belgium itu seperti yang dipetik oleh Sky Sports.

"Mereka meraih kemenangan penting dan mereka juga akan menghadapi beberapa perlawanan sukar. Kami perlu terus menang dan mudah-mudahan mereka mendapat sedikit tekanan."

Spurs merupakan pencabar terdekat kepada juara musim lalu, Leicester City, sebelum peluang mereka mulai pudar pada minggu-minggu terakhir kempen lalu sehingga terpaksa berpuas hati di tempat ketiga di belakang seteru utara London, Arsenal.

"Kami telah membuktikan dalam tempoh dua tahun mengenai kemampuan kami," kata Vertonghen.

"Tottenham sentiasa mampu mengalahkan pasukan yang lebih kecil tetapi tidak kepada pasukan besar. Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami melakukan kedua-duanya dan kami telah membuktikan tempat di mana kami sepatutnya berada.

"Semua pasukan mula berfikir mengenai peluang kami untuk memenangi liga atau dalam kelompok empat terbaik. Sebelum ini, orang akan cakap yang Tottenham akan menamatkan saingan di tempat kelima atau keenam."

Tambah Vertonghen: "Saya tidak tahu apa yang diperlukan untuk memenangi liga -- mungkin sedikit nasib -- tetapi saya fikir pasukan ini mempunyai kualiti yang besar dan sangat istimewa.

"Kami hilang lima pemain utama ketika menentang Swansea tetapi pemain lain mampu menyesuaikan diri dan kami sebuah pasukan yang sangat kuat yang boleh mengalahkan mana-mana pasukan lain dalam EPL."