Mauricio Pochettino menegaskan dia sudah mempersiapkan Tottenham Hotspur dengan rancangan rapi bagi mengekang pergerakan permata terbaru Manchester City, Gabriel Jesus, apabila kedua pasukan bertembung esok.

City mengumumkan secara rasmi penyertaan pemain berusia 19 tahun itu pada Khamis selepas menandatanganinya Ogos lalu.

Selepas tewas 4-0 kepada Everton minggu lalu, Jesus dijangka akan menyuntik elemen baru dalam jentera serangan skuad kendalian Pep Guardiola, yang ketika ini menghuni tangga kelima liga dan tiga mata di belakang Spurs.

"Saya amat kenal corak permainannya kerana saya telah melihat aksinya bersama skuad Brazil," ujar bekas pemain antarabangsa Argentina itu ketika sesi sidang media.

"Dia mampu bermain di belakang penyerang. Dia seorang pemain muda yang cukup berbakat. Sama ada dia akan turun dalam kesebelasan utama atau tidak, itu saya tidak pasti.

"Dia baru berusia 19 tahun, mungkin dia akan turun beraksi.

"Dengan bantuan internet, cukup mudah untuk mengetahu maklumat itu."

Meskipun City sedang bergelut, namun Pochettino percaya pasukan itu kekal antara pasukan terbaik di Eropah.

"Kami perlu berwaspada kerana mereka hanya tiga mata di belakang kami dan mereka juga beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah," katanya.

"Sukar untuk menentukan persembahan mereka hanya selepas separuh musim. Oleh kerana saya cukup kenal dengan Guardiola -- dia seorang pengurus terbaik di dunia -- dia tahu apa yang perlu dilakukan."

Spurs ketika ini dalam perjalanan melakar kemenangan ketujuh berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris dan Pochettino mengakui berasa bangga dengan aksi anak buahnya setakat ini.

"Satu pencapaian yang cukup membanggakan," tambahnya. "Saya lebih berbangga dengan pemain saya kerana mereka layak diberikan pujian atas apa yang berlaku ketika ini.

"Objektif kami musim ini adalah untuk memberi cabaran dalam perebutan kejuaraan."