SWANSEA 0 TOTTENHAM 2

Mauricio Pochettino menolak dakwaan bahawa jadual kurang padat Tottenham Hotspur dalam tempoh Krismas memastikan mereka berkelebihan ketika bertemu Swansea City sambil mempertahankan Spurs ternyata adalah pasukan lebih baik.


Banyak rungutan disuarakan oleh pengurus sejak beberapa tahun kebelakangan mengenai jadual Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika musim sejuk sehingga menyaksikan sebilangan pasukan beraksi dalam perlawanan berikutnya dalam tempoh hanya 48 jam.

Pep Guardiola, Jose Mourinho, Antonio Conte dan Alan Pardew adalah antara pengurus yang melontarkan pandangan yang sama sambil pengurus West Brom itu juga mendedahkan bahawa kelabnya telah membuat aduan rasmi.

Bagaimanapun, Pochettino tidak menganggap fakta Spurs yang memiliki tiga hari rehat daripada Swansea merupakan pemangkin kemenangan 2-0 mereka di Stadium Liberty, awal pagi tadi.

"Saya fikir keputusan ini adalah buktinya, kemenangan," kata Pochettino kepada Sky Sports. "Kami lebih baik daripada Swansea.

"Bukan keadaan fizikal kami yang menjadi kelebihan, kami hanya bermain lebih baik, mencipta lebih banyak peluang daripada mereka untuk mencapai kemenangan.

"Tetapi selepas perlawanan, kami gembira kerana keadaannya sangat teruk untuk beraksi. Begitupun, ia suatu usaha yang hebat."

Fernando Llorente menjaringkan gol pertamanya apabila kembali ke Stadium Liberty selepas pemain Sepanyol itu diturunkan dalam kesebelasan utama gara-gara keadaan Harry Kane yang kurang sihat.

Begitupun, Kane dimasukkan pada minit ke-68 dan memainkan peranan penting dalam gol lewat permainan Dele Alli, justeru Pochettino memuji kesan yang diciptanya.

"Kami telah membuat langkah terbaik untuknya, dia dilihat sukar untuk berlari," tambah Pochettino.

"Tetapi, ia merupakan sesi latihan yang baik untuk dia bersedia mengharungi perlawanan seterusnya, jadi saya harap dia pulih dalam tempoh 24 jam seterusnya dan bersedia untuk skuad utama.

"Dia adalah pemain yang lengkap, dia bukan sahaja menjaringkan gol, malah mencipta, membina, mengawal bola dan seorang penyerang lengkap," tambahnya.