Tottenham Hotspur menafikan dakwaan ia sedang berunding untuk menjual kelab itu kepada seorang pembeli yang disokong oleh pemilik Facebook, Mark Zuckerberg, dengan nilai GBP1 bilion (RM5.57 bilion).

Laporan sebelum ini mengatakan sebuah syarikat dari Amerikat Syarikat, Iconiq Capital, berminat dalam pengambilalihan kelab naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lepas itu.

Firma pelaburan itu mengurus kewangan beberapa syarikat teknologi di Lembah Silicon, California, termasuk pengasas Facebook, Zuckerberg.

Bagaimanapun, perbincangan itu dinafikan oleh Spurs dalam satu kenyataan ringkas kelab.

“Pihak kelab berurusan dengan Rothschild untuk mendapatkan dana bagi menyiapkan stadium baru.

“Seperti dijangka, kami menerima banyak cadangan daripada beberapa syarikat pelaburan dan pihak pengurusan telah mengumumkan pada 31 Mei 2017 bahawa proses pembiayaan untuk stadium baru telah selesai dan ia melibatkan beberapa bank seperti Bank of America Merrill Lynch International Limited, Goldman Sachs Bank USA dan HSBC Bank.

"Pihak pengurusan percaya ia jalan terbaik daripada kelab untuk semua penyokong, pekerja, pemegang saham serta untuk pembangunan pasukan.

“Bagaimanapun, tiada perbincangan mengenai penjualan kelab kepada pemilik baru,” kata kenyataan ringkas kelab.