TOTTENHAM 2 SOUTHAMTON 1

Jan Vertonghen yakin Tottenham masih lagi mampu memberikan cabaran kepada Chelsea untuk merebut takhta liga walaupun ketinggalan 10 mata dengan berbaki 10 perlawanan musim ini.


Pendahulu liga, Chelsea, meraih kemenangan 2-1 ke atas Stoke City kelmarin dan Spurs meraih kemenangan dengan keputusan yang sama, menyaksikan Christian Eriksen dan Dele Alli melakar jaringan gol.

Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua dan dilihat sebagai pencabar terdekat Chelsea dan Vertonghen menegaskan pasukannya masih lagi dalam perjuangan untuk bergelar juara EPL.

"Semestinya Chelsea adalah pasukan pilihan menjulang kejuaraan liga," katanya kepada Sky Sports.

"Tetapi kami tidak akan berputus asa sehingga penghujung musim ini.

"Saya berpendapat kami bermain dengan baik. Sasaran kami adalah cuba memperbaiki prestasi musim lalu, berada di tangga kedua memaksa kami untuk memberikan yang terbaik sehingga menghuni tangga teratas liga.

"Kami hanya perlu terus memenangi perlawanan. Pasukan-pasukan lain sudah kehilangan mata berharga kerana bersaing antara satu sama lain. Kami yakin akan kembali beraksi di Eropah musim hadapan."