Lucas Moura sedih apabila mengambil keputusan meninggalkan Neymar pada Januari lalu tetapi percaya dia telah menyertai kelab yang lebih besar apabila mengambil keputusan menyertai Tottenham dari Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain kebangsaan Brazil itu bersama PSG selama lima musim dan gembira dengan kehadiran Neymar tetapi kehadirannya memaksa dia untuk meninggalkan pasukan.

Neymar menyertai PSG bersama-sama dengan Kylian Mbappe dan gandingan itu menjadi pilihan utama pasukan, yang menyaksikan Lucas semakin terhad untuk menembusi barisan utama pasukan.

Lucas dapat tampil dalam skuad utama Spurs, dengan pemain berusia 25 tahun itu percaya dia telah menemui ramuan untuk terus beraksi dalam saingan akan datang.

"Neymar seperti abang kepada saya," kata Lucas. "Saya amat menyayanginya dan kami memiliki hubungan yang baik.

"Sedih meninggalkan Neymar dan Paris kerana saya sangat gembira dengan kehidupan di sana. Tetapi saya memerlukan cabaran baru.

"Saya mahu mendapatkan pengalaman baru dan ini adalah peluang saya untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Tottenham adalah kelab yang besar, mungkin lebih besar daripada PSG. Saya teruja apabila sampai di sini."