Mauricio Pochettino berharap Harry Kane dapat kembali dalam kesebelasan utama apabila Tottenham Hotspur bersiap untuk menyambut West Ham dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi esok.

Kane menutup tahun 2017 dengan cemerlang apabila memecah rekod gol tahunan EPL milik Alan Shearer serta mengatasi pencapaian bintang Barcelona, ​​Lionel Messi, di peringkat kelab dan negara selama tempoh 12 bulan.

Penyerang England berusia 24 tahun itu tidak begitu sihat dalam kemenangan 2-0 ke atas Swansea City minggu ini apabila hanya masuk sebagai pemain gantian pada pertengahan babak kedua.

"Ya, kita akan lihat (jika dia layak untuk diturunkan dalam skuad utama)," kata Pochettino kepada wartawan.

"Langkah yang kami ambil adalah tepat selepas dia dilihat sukar melakukan larian selepas beberapa hari diberi antibiotik.

"Kami harap ia berjalan lancar dan dia akan bersedia untuk berdepan West Ham. Kami perlu menilainya dan membuat keputusan."

Kane menjaringkan dua gol ketika Spurs menang 3-2 di Stadium London pada September lalu, namun mereka dikejutkan di Wembley sebulan kemudian apabila West Ham meraih kemenangan 2-0 dalam saingan Piala Liga Inggeris (EFL).

"Ia bukan misi membalas dendam, ia adalah permainan yang sangat penting bagi kami," kata Pochettino.

"Masalahnya selepas ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama, saya perlu berpesan termasuk kepada diri sendiri, kami percaya bahawa permainan sudahpun berakhir. Itulah kesilapan kami.

"Begitupun, dalam aksi EPL, kami perlu menang dan kami perlu berjuang untuk kedudukan empat teratas, berada di sana dan mendapatkan kedudukan yang lebih tinggi.

"Dan sangat penting untuk mendapatkan tiga mata. Ia adalah aksi 'derby' dan ia istimewa," katanya lagi.

Tambah Pochettino: "Saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar kerana West Ham banyak menunjukkan peningkatan di bawah bimbingan David Moyes. Dan selalunya dalam aksi 'derby', permainan sentiasa menjadi sukar."