Tottenham telah menyempurnakan pembelian pertahanan Estudiantes, Juan Foyth.

Spurs telah dikaitkan dengan perpindahan pemain berusia 19 tahun itu sejak jendela perpindahan pemain dibuka dengan pemain itu mengikat kontrak sehingga 2022.

Foyth, -- yang mewakili skuad bawah 20 tahun Argentina -- pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain namun memilih untuk berhijrah ke England.

Pertahanan tengah itu dilabel sebagai pemain muda terbaik sedia ada dengan Spurs dilaporkan membayar sekitar GBP10 juta (RM55 juta) bagi melengkapkan pembelian.

Bercakap selepas selesai mengikat kontrak, Foyth berkata pengendali Spurs, Mauricio Pochettino telah meyakinkannya untuk sertai kelab itu.

"Saya sangat suka akan kelab ini. Saya mengikuti perkembangan mereka sejak daripada kecil lagi," katanya dalam satu video yang dimuat naik ke laman Twitter Spurs.

"Liga Perdana Inggeris adalah kegemaran saya. Saya mahu fokus dan cuba berikan yang terbaik.

"Kelab ini memberi kepercayaan terhadap pemain muda, saya teruja berada di sini. Inilah impian saya.

"Saya juga mengenali ramai pemain muda dalam pasukan ini."

Foyth merupakan pemain kedua yang bertandang ke Spurs selepas pembelain Davinson Sanchez dari Ajax.

Tottenham turut dilaporkan bakal menandatangani khidmat bek kanan Paris Saint-Germain, Serge Aurier, yang ketika ini sedang mendapatkan permit pekerjaannya.