Mauricio Pochettino percaya Arsene Wenger tersilap percaturan dengan mengungkit pencapaian trofi Tottenham Hotspur.

Sebelum Arsenal menundukkan Chelsea untuk menempah tempat dalam final Piala Liga Inggeris (EFL) semalam, Wenger cuba mencetuskan ketegangan dengan Liverpool dan Tottenham.

Pengurus Perancis itu berkata media meraikan pasukan yang tidak mara ke final selama 25 tahun dan membunuh mereka meskipun Arsenal telah memenangi tiga Piala FA dalam tempoh empat tahun terakhir.

Ulasan Wenger itu dianggap ditujukan kepada Pochettino dan Jurgen Klopp di Liverpool, dengan kedua-duanya belum memenangi trofi dalam bola sepak Inggeris.

Dan menjelang kunjungan Spurs ke Newport County dalam pusingan keempat Piala FA esok, Pochettino membidas semula kenyataan Wenger.

"Saya masih muda dan hanya lima tahun dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Southampton dan Tottenham, tidak ada gunanya bercakap mengenai pasukan lain," kata Pochettino kepada pemberita.

"Pujian? Sudah tentu kami menerima pujian. Bola sepak bukan hanya setakat memenangi trofi, ini situasi kelab yang berbeza.

"Dia adalah salah seorang pengurus terbaik di dunia, saya menghormatinya tetapi saya fikir dia perlu bercakap mengenai dirinya sendiri dan Arsenal.

"Dia seorang pengurus istimewa, kadang-kadang manusia membuat kesilapan dan bagi saya, dia membuat kesilapan untuk bercakap tentang kami atau pasukan lain," katanya.

Newport mengetepikan cabaran Leeds United dalam pusingan ketiga dan Pochettino percaya padang di Rodney Parade sememangnya sinonim dengan aksi Piala FA.

"Hari ini mereka melangsungkan perlawanan ragbi, ia bukan padang yang mudah. Namun, kami tidak akan mengadu tentang padang," kata Pochettino. "Ia akan menjadi sukar, ia bukan tentang pergi ke sana dan fikir hanya Tottenham yang akan menang. Itu penting.

"Kami perlu menghormati lawan, saya tidak fikir kami akan menghadapi sebuah pasukan dari divisyen dua, saya tidak peduli dengan tahap mereka, kami perlu mempamerkan yang terbaik atau kami akan berdepan masalah besar.

"Saya menonton aksi terakhir mereka dalam Piala FA menentang Leeds United, mereka adalah pasukan yang sangat fizikal dengan beberapa pemain berkualiti. Motivasi adalah pendorong utama mereka, tentu sahaja ia akan menjadi permainan yang sangat sukar dan berbahaya," katanya lagi.