SPARTA PRAGUE 1 SOUTHAMPTON 0

Claude Puel menggesa Southampton agar meningkatkan tahap tumpuan mereka selepas tunduk 1-0 kepada Sparta Prague dalam aksi Liga Europa, awal pagi tadi.


Rembatan voli yang dilakukan pemain pertahanan kiri, Costa Nhamoinesu, menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan di mana Southampton bergelut untuk menembusi benteng lawan biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan.

Kemenangan itu memastikan Sparta Prague menamatkan saingan Kumpulan K di tangga teratas.

Untuk itu, Southampton perlu menewaskan Hapoel Be'er Sheva atau meraih keputusan seri 0-0 dalam aksi terakhir di St Mary's untuk melayakkan diri dan Puel berkata pasukannya perlu mengekalkan fokus mereka.

"Ia keputusan yang buruk," kata Puel. "Kami memulakan permainan dengan baik tapi kami dibolosi daripada sepakan percuma pertama yang kami berikan dan itu sukar diterima.

"Kami beraksi dalam separuh masa pertama tanpa mencipta situasi klinikal tapi kami kehilangan rentak pada separuh masa kedua untuk mengekalkan ketenangan kami.

"Ia memberi kelebihan kepada pasukan lawan kerana mereka mencipta situasi sukar buat kami yang bergelut dengan padang buruk tapi itu bukanlah alasan.

"Kami tidak cukup bagus untuk memenangi perlawanan ini."

Kemarau kemenangan Southampton kini memasuki perlawanan ketiga dengan hanya menjaringkan satu gol sepanjang tempoh itu.

Puel menuntut anak buahnya menggilap semula usaha mereka menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris dengan Everton di tempat sendiri.