Son Heung-Min menegaskan masa depannya tetap bersama Tottenham Hotspur walaupun wujud khabar angin mengaitkannya dengan perpindahan ke Bayern Munich.

Son baru sahaja menandatangani kontrak baru selama lima tahun bersama Spurs, Julai lalu, tetapi wujud laporan minggu ini bahawa juara Bundesliga, Bayern, sedang cuba mendapatkan khidmat bekas penggempur Bayer Leverkusen itu.

Pemain Korea Selatan itu menjadi tonggak utama buat pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu dalam dua musim terakhir tatkala 26 gol yang dihasilkan tampak meringankan beban Harry Kane di jentera serangan pasukan, sekali gus membantu Spurs meraih kedudukan tiga terbaik dalam liga secara berturut-turut.

Bercakap selepas kemenangan 2-1 Spurs ke atas Brighton and Hove Albion pada awal pagi tadi, Son berkata: "Saya baru sahaja membaharui kontrak bersama Spurs dan percaya perlu fokus di sini untuk membantu pasukan. Saya gembira bersama Tottenham."

Son melepaskan diri daripada perintah latihan ketenteraan buat negaranya selepas membantu Korea Selatan memenangi pingat emas Sukan Asia 2018 susulan kejayaan menundukkan Jepun di pentas akhir.