Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, yakin bintang tengahnya, Paul Pogba, akan cergas untuk berdepan Tottenham Hotspur dalam perlawanan tumpuan Liga Perdana Inggeris, hujung minggu ini.

United memenangi keempat-empat perlawanan liga sejak Solskjaer mengambil alih pasukan itu bulan lalu.

Namun, mereka dikejutkan dengan ketiadaan Pogba dalam perlawanan Piala FA menewaskan Reading ekoran kecederaan yang disebabkan insiden dengan pemain Newcastle United, Jonjo Shelvey, minggu lalu.

Dengan Solskjaer akan membawa pasukannya berdepan ujian getir di Wembley, pengendali itu yakin Pogba akan kembali disenaraikan dalam skuadnya.

"Dia kelihatan baik setakat ini dan dia pasti akan cergas menjelang perlawanan itu.

"Dia mengalami kecederaan ringan sebelum ini, namun dia telah kembali pulih dan menyertai sesi latihan kami.

"Dia pasti akan dapat diturunkan," katanya.

Pertemuan dengan pasukan di tangga ketiga itu pasti akan menguji kemampuan Solskjaer selepas menerima pujian menggunung di Old Trafford sejak ketibaannya.

Namun, dia menjelaskan ujian terdahulunya bersama pasukan itu bukan mudah untuk dilalui.

"Kami telah diuji. Bertandang ke Newcastle merupakan ujian, perlawanan pertama di Cardiff juga menguji dan perlawanan pertama di laman sendiri juga merupakan ujian yang berat.

"Anda akan sentiasa diuji dalam setiap perlawanan Liga Perdana.

"Sudah pasti perlawanan hujung minggu ini merupakan ujian terbesar buat saya.

"Jika kami mahu menandingi mereka, kami memerlukan prestasi dan keputusan yang baik," tambahnya.

Walaupun menyedari peningkatan yang dilalui lawan itu dalam beberapa musim ini, Solskjaer akan tetap menerapkan permainan menyerang seperti dalam perlawanan-perlawanan terdahulu.

"Kami perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan lawan berbeza dan kami kini akan berdepan antara pasukan terbaik Inggeris.

"Sudah pasti kami perlu berwaspada dengan kemampuan mereka.

"Bagaimanapun, saya telah menerapkan falsafah menyerang dalam pasukan ini.

"Itu merupakan kekuatan kami dan saya akan terus menggunakan pendekatan itu.

"Kami mungkin tidak memperoleh peluang yang banyak seperti sebelum ini.

"Kami perlu berwaspada ketika mereka mendapat bola.

"Kami akan memberikan saingan terbaik dan memanfaatkan keseluruhan padang," katanya lagi.