Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, yakin dirinya dan pasukan kejurulatihannya mendapat kepercayaan pengurus legenda pasukan itu, Alex Ferguson, kerana mereka "benar-benar Manchester United".

Solskjaer menikmati permulaan cemerlang dalam kehidupan semulanya bersama United sejak dilantik menggantikan Jose Mourinho, dua minggu lalu.

United memenangi ketiga-tiga perlawanan di bawah kendalian Solskjaer dengan turut menghasilkan 12 jaringan dalam proses itu.

Apa yang memberikan nilai berbeza adalah mereka kini bermain secara terbuka dengan corak menyerang.

Ramai penyokong mengecam United yang dilihat tidak lagi beraksi bebas dan tajam menyerang sejak Ferguson menamatkan khidmatnya selama 26 setengah tahun pada 2013.

Bayang-bayang Ferguson kekal menghantui era David Moyes, Louis van Gaal dan Mourinho, namun ia semakin nyata sebaik Solskjaer yang turut dibantu Mike Phelan, Michael Carrick dan Mark Dempsey, mengambil alih pasukan itu.

"Saya sudah dipengaruhinya (Ferguson) sejak 15 tahun lalu dan sudah pasti ia lebih besar andai beliau mempengaruhi saya untuk tempoh dua minggu ini.

"Saya sentiasa meminta pandangannya dan beliau juga kerap melawat sesi latihan kami.

"Saya berasakan beliau gembira dengan apa yang dilihatnya di padang latihan dan beliau turut bersembang baik dengan kami dan pegawai pasukan.

"Beliau memberikan galakan kepada kami.

"Beliau tahu saya dan barisan kejurulatihan saya adalah benar-benar Manchester United.

"Beliau tahu kami akan memberikan segala-galanya buat pasukan ini sehingga tamat waktu perkhidmatan yang ditetapkan.

"Ia demi Manchester United dan kami akan memberikan segala-galanya," katanya.