Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, sudah berkira-kira terhadap peluang pasukannya untuk menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara Eropah, Februari ini.

The Red Devils diundi untuk berdepan gergasi Perancis itu dalam pusingan 16, Isnin lalu -- 24 jam sebelum pengumuman pasukan itu memecat bekas pengurus, Jose Mourinho.

PSG merupakan juara Kumpulan C yang turut mengandungi Liverpool dan Napoli.

Kejayaan mereka ditunjangi trio serangan yang dibarisi Edinson Cavani, Kylian Mbappe dan Neymar.

Bagi Solskjaer, dia berharap United dapat memberikan saingan kepada PSG dalam pertemuan pertama di Old Trafford pada 12 Februari depan sebelum bertandang ke Paris, sebulan selepas itu.

"Sewaktu undian itu dilakukan, saya menontonnya tanpa mengetahui apa yang sedang berlaku di United," katanya kepada MUTV.

"Anda mungkin berasakan PSG mempunyai peluang yang lebih baik.

"Namun, malam itu akan menjadi malam yang penuh gemilang di Old Trafford seperti yang selalu diperkatakan pengurus saya, Alex Ferguson.

"Mereka mempunyai bintang dunia yang akan berdepan pemain berbakat kami.

"Mereka akan membariskan pemain seperti Neymar, Mbappe dan Cavani, namun malam itu akan menjadi detik kebangkitan buat United.

"Saya tidak sabar untuk melaluinya walaupun masih banyak perlawanan lain yang kami perlu hadapi sebelum menentang mereka.

"Kami akan membina semula asas yang baik dalam pasukan ini sebelum menentang PSG dengan penuh keyakinan.

"Jika kami berjaya, ia pasti hebat," katanya lagi.

Sebelum berdepan PSG, Solskjaer perlu membuktikan kemampuannya dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang bekas pasukan kendaliannya, Cardiff City, awal pagi Isnin ini.

"Kami akan bermain untuk penyokong, kami akan bermain untuk maruah pasukan.

"Secara jujurnya, ia pasti akan menjadi sangat istimewa buat saya.

"Saya mampu untuk mengawal emosi, namun ketika saya kembali ke Old Trafford bersama Cardiff pada 2014, ia berasa amat aneh.

"Ia merupakan saat yang paling aneh untuk saya bersama pasukan lain di sini.

"Kini, saya berada bersama pasukan yang betul dan saya amat teruja," tambahnya.