Ole Gunnar Solskjaer mengingatkan bahawa rombakan besar-besaran dalam kem Manchester United adalah satu projek jangka panjang sambil menegaskan dia hanya akan menandatangani pemain yang sesuai dengan 'DNA' kelab berkenaan.

United dijangka aktif dalam pasaran perpindahan pemain, dengan pemain sensasi Borussia Dortmund, Jadon Sancho, pertahanan tengah Napoli, Kalidou Koulibaly, dan bintang Real Madrid, Gareth Bale, hangat dikaitkan.

Sejumlah pemain juga dijangka meninggalkan Old Trafford, dengan Matteo Darmian dan Antonio Valencia dilaporkan bersedia untuk angkat kaki sementara masa depan Alexis Sanchez, Ander Herrera, Juan Mata, Romelu Lukaku dan Marcos Rojo belum dapat dipastikan lagi.

Pengurus United, Solskjaer, yang membawa United menduduki tangga keenam dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi hanya dua mata dibezakan dengan kedudukan empat teratas, memberitahu pemberita: "Kami merancang untuk berada dalam kelompok atasan, kami merancang untuk berada dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

"Kami mahukan pemain yang dapat mengekalkan kami dalam Liga Juara-Juara (UCL) dan membantu kami mencabar gelaran tetapi kami sedar tiada pintas untuk menjayakannya dengan segera. Kami perlu mengambil langkah demi langkah.

"Akan ada pemain-pemain baru yang akan tiba pada musim panas ini tetapi saya tidak fikir anda boleh mengharapkan seramai enam pemain. Saya tidak fikir mana-mana pengurus yang anda tanya sekalipun akan memihak kepada rombakan besar-besaran seperti itu.

"Kami mahu membina semula pasukan ini tetapi ia perlulah dilakukan secara beransur-ansur menerusi beberapa jendela perpindahan.

"Ketika saya tiba, ada yang menganggap kami perlu menyuntik semula DNA United ke kelab, pasukan dan pemain," kata Solskjaer.

"Kami perlu mendapatkan kembali budaya DNA itu tetapi apakah definisi sebenarnya tentang budaya itu? Bagi saya, ia tentang bagaimana kami melakukan sesuatu perkara itu di sini.

"Saya mempunyai cara tersendiri untuk melaksanakan tindakan -- tetapi saya mengharapkan mereka dapat melakukan perkara-perkara kecil.

"Misalnya seperti bersarapan pagi atau makan tengah hari bersama-sama.

"Malah, saya juga suka sekiranya pemain bertanggungjawab terhadap karier dan masa depan mereka sendiri. Itulah jenis pemain yang saya gemari -- dan saya kagum dengan sebilangan besar pemain di sini tetapi bukanlah kesemua daripada mereka tetapi kebanyakannya"

Solskjaer bercakap menjelang kunjungan ke Everton malam ini: "Saya tidak tahu mengenai alasan kebanyakan pemain ini diikat tetapi apa yang saya tahu, mereka dibawa ke mari kerana mereka mempunyai kualiti yang hebat dan pengurus sebelumnya telah melihat potensi tersebut.

"Bagaimanapun, saya melihat perkara dengan berbeza jika mahu dibandingkan dengan (Louis) Van Gaal, (David) Moyes dan Jose (Mourinho). Saya sukakan pemain yang mempunyai kualiti berbeza -beza -- itulah caranya dalam bola sepak.

"Ini bukan mengenai persoalan sama ada saya sukakan pemain ini atau pemain itu. Persoalannya adakah mereka layak datang ke Man United dan sesuaikah mereka dengan corak permainan yang saya mahukan.

"Pemain-pemain ini pernah dibimbing Mourinho, Louis van Gaal, (Alex) Ferguson, dan Moyes - mereka ini adalah pengurus terbaik yang pernah ada di England manakala saya masih mentah tetapi saya mahu menampilkan cara yang berbeza."