MANCHESTER UNITED 2 BRIGHTON & HOVE ALBION 1

Manchester United meraih kemenangan ketujuh berturut-turut sejak diambil alih Ole Gunnar Solskjaer dan pengurus sementara itu berkata dia akan mengingati saat-saat itu sepanjang hayatnya.


United menewaskan Brighton & Hove Albion 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Solskjaer menjadi pengurus pertama United yang memenangi enam perlawanan pertama liga selepas Paul Pogba dan Marcus Rashford terus menunjukkan keberkesanan mereka di depan gawang sebelum Brighton merapatkan jurang menerusi jaringan Pascal Gross dalam babak kedua.

Kemenangan itu tiba selepas genap sebulan Solskjaer mengambil alih teraju utama pasukan itu.

Dia juga pernah memperoleh pelbagai pencapaian gemilang selaku pemain di Old Trafford.

Kontrak lanjutan mungkin akan disediakan United andai prestasi mereka itu dapat dikekalkan sehingga ke penghujung musim.

Namun, pengurus berusia 45 tahun itu mengakui bulan pertamanya selaku pengendali berjalan dengan amat lancar.

"Menakjubkan, saya tidak boleh merungut, bukan? Bolehkah saya?" katanya kepada Sky Sports.

"Saya tidak boleh berhenti tersenyum.

"Saya akan mengingati saat ini sepanjang hayat saya.

"Ia sudah sebulan dan ia amat membanggakan untuk berada di sini," katanya.

Pogba dan Rashford dilihat pemain paling menyinar sejak Solskjaer mengambil alih pasukan.

Rashford, terutamanya, memaparkan penyudah yang lebih klinikal di depan gawang dan Solskjaer selaku bekas penyerang United, tidak berselindung memberikan bantuan kepada penyerang muda itu.

Gol Rashford yang ke-41 dalam 150 penampilannya buat United itu tiba dengan gaya yang cukup hebat ke penjuru gawang dan Solskjaer mendedahkan dia sentiasa berusaha untuk menguatkan mental penyerangnya itu dalam setiap perlawanan.

"Dia berada dalam kelas tertinggi.

"Dia mempunyai usaha yang tinggi berbanding pemain lain.

"Dia kini lebih tenang di depan gawang dan kelihatan amat yakin.

"Dia bukan hanya memaparkan teknik yang hebat, malah dengan pemikiran yang hebat juga.

"Dia bermain dengan amat yakin," tambahnya.