Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata Odion Ighalo adalah 'pemain yang hebat dan profesional' selepas gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menyempurnakan perpindahan penyerang Shanghai Shenhua tersebut secara pinjaman.

Ighalo meninggalkan kelab Liga Super China (CSL), Shenhua, untuk dipinjamkan kepada United sehingga penghujung musim ini, di mana ia dilaporkan kelab berkenaan tidak memilih untuk menandatangani pemain kebangsaan Nigeria itu.

Pemain berusia 30 tahun itu tiba di Old Trafford untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Marcus Rashford yang mengalami kecederaan dan bakal diketepikan selama dua bulan.

"Ighalo seorang pemain berpengalaman. Dia hadir ke dalam pasukan dan memberikan pilihan kepada pasukan ketika melakukan serangan," kata Solskjaer.

"Seorang pemain yang hebat dan profesional. Dia akan memanfaatkan sepenuh masanya di sini."

Ighalo tiba ke United selepas kelab menandatangani kapten Sporting CP, Bruno Fernandes, dengan yuran perpindahan EURO55 juta (RM249 juta) semalam.

Selepas menyempurnakan perpindahan Fernandes, United beralih untuk memperkuatkan jentera serangan dan membawa masuk bekas penyerang Watford, Ighalo.

Ighalo sebelum ini dikaitkan dengan United ketika di bawah bekas pengendali, Louis van Gaal, selepas menjaringkan 40 gol dalam 100 penampilan bersama The Hornets sebelum berkelana ke China.

Selepas menjaringkan 36 gol dalam semua kejohanan dalam dua musim bersama kelab CSL, Changchun Yatai, Ighalo meledak gol 10 kali buat Shenhua musim lalu.




Editor: Ammar Hakim