Ole Gunnar Solskjaer mengharapkan peminat Manchester United memberi sokongan penuh kepada Paul Pogba pada musim baru ini dengan mengatakan pemain Perancis itu "tidak pernah menjadi punca masalah" sepanjang berada di kelab itu.

Pogba dikritik hebat oleh penyokong United dalam kempen buruk 2018-19 dan menerima kecaman dalam kekalahan 0-2 kepada Cardiff City di Old Trafford pada hari terakhir musim lalu.

Dia menjadi subjek spekulasi perpindahan dan bulan lalu, dia memberitahu pemberita di Tokyo bahawa musim depan boleh menjadi detik yang tepat buatnya menyahut cabaran baru di tempat lain.

Ulasan itu lantas mengecewakan sebahagian penyokong United, namun Solskjaer mendedahkan pemain tengah berkenaan, yang terbabit dalam kemenangan pra-musim ke atas Perth Glory, Leeds United dan Inter, akan menerima sokongan daripada peminat musim depan.

"Saya fikir peminat kami tahu jasa Paul kepada kelab dan apa yang boleh ditawarkannya kepada kami," kata Solskjaer dalam sidang berita menjelang pertemuan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019 menentang Tottenham, hari ini (7.30 malam waktu Malaysia).

"Sudah tentu terdapat sebilangan kecil penyokong (yang mengejeknya).

"Paul memberi kerjasama yang tinggi dalam pasukan. Saya dan barisan pemain akan menjadi saksi kepadanya.

"Dia tidak pernah mencetuskan masalah, kami bersyukur apabila dia beraksi baik, begitu juga dengan dia."

Solskjaer menawarkan perkembangan mengenai pertahanan, Victor Lindelof, yang digantikan dalam separuh kedua ketika United merakam kemenangan 1-0 ke atas Inter sementara Romelu Lukaku pula masih belum diturunkan walaupun menyertai siri jelajah pra-musim sambil Nerazzurri menunjukkan minat yang mendalam terhadapnya.

"Lindelof dalam keadaan baik, namun Lukaku tidak cergas," kata Solskjaer yang akan mengetepikan penyerang itu dalam pertembungan dengan Spurs.

"Lukaku sedang mengikuti fisioterapi sejak beberapa hari lalu, jadi saya tidak fikir kali ini dia akan membuat kemunculan.

"Dia tercedera dalam latihan. Ia tidaklah terlalu teruk dan jika bertambah buruk, kami akan menghantarnya pulang.

"Sudah tentu ia tidak bagus buat seorang pemain apabila terlepas program kecergasan yang penting, termasuk dalam usaha pembentukan pasukan, pemahaman dan pendekatan taktikal.

"Dia masih perlu melakukannya."