Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berasakan peluang dapat diberikan kepada pemain-pemain lain selepas Anthony Martial dan Jesse Lingard dijangka berehat panjang ekoran kecederaan.

United tewas 2-0 dalam aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara di laman sendiri kepada Paris Saint-Germain (PSG) manakala Martial dan Lingard dijangka direhatkan selama dua minggu kerana mengalami kecederaan.

Ketiadaan tonggak utama pasukan itu menyaksikan dua posisi untuk direbut dalam kesebelasan utama United bagi berdepan Chelsea dalam Piala FA dan Liverpool dalam aksi liga.

Solskjaer mengesahkan Tahith Chong dan Angel Gomes berkemungkinan akan diberikan peluang untuk tampil membuktikan kebolehan mereka di samping peluang buat Alexis Sanchez untuk benar-benar menabur bakti kepada The Red Devils.

"Ia merupakan peluang buat mana-mana pemain beraksi -- Sanchez, Romelu Lukaku, Chong atau Angel," kata Solskjaer.

"Martial dan Lingard telah memberikan yang terbaik untuk pasukan. Mereka merupakan tunjang jentera serangan United.

"Dengan Lukaku dan Sanchez, mereka memiliki kualiti yang berbeza dan bakal memberikan sesuatu untuk pasukan. Kami akan membuat persiapan untuk aksi seterusnya.

"Kami juga mungkin akan memberikan peluang kepada Angel dan Chong yang telah menjalani latihan sepanjang minggu ini bersama skuad utama. Ia adalah peluang mereka untuk terlibat dalam perlawanan akan datang," katanya lagi.