Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata The Red Devils tidak akan menunggu selama 30 tahun untuk kembali merangkul kejuaraan liga.

United belum memenangi kejuaraan itu sejak 2012-13 yang menyaksikan gergasi England itu sedang bergelut di kedudukan ke-14 dan 15 mata di belakang pendahulu, Liverpool, menjelang pertembungan di Old Trafford, malam ini.

Liverpool gagal meraih mahkota liga sejak 1990 dan mereka belum pernah kalah dalam musim ini untuk meniti landasan tepat bagi menamatkan kemarau kejuaraan tersebut.

Walaupun United sedang melalui tempoh sukar, Solskjaer yakin ia tidak memerlukan tempoh tiga dekad untuk juara Inggeris 20 kali itu kembali ke puncak.

"Manchester United akan bangkit dan memenangi liga," katanya kepada pemberita.

"Kami mungkin perlu menunggu beberapa ketika tetapi saya pasti ia tidak akan mengambil masa sehingga 30 tahun untuk meraih gelaran seterusnya."

United akan menyambut kunjungan Liverpool ke Manchester berbekalkan prestasi tiga aksi liga tanpa kemenangan.

Skuad kendalian pengurus dari Norway itu tumpas 0-1 kepada Newcastle United sebelum jadual perlawanan antarabangsa minggu lalu, termasuk seri ketika bertemu Arsenal dan tumbang kepada West Ham.

"United tidak pernah berpuas hati untuk memungut keputusan seri. Saya mahu mendapatkan tiga mata," katanya lagi.

"Kami memerlukan mata dan kami perlu menang. Tidak kira sama ada berdepan Liverpool, Manchester City atau Brighton & Hove Albion.

"Kami tahu bahawa kami tidak mencipta peluang yang secukupnya, kami perlu lebih mencabar. Salah satu falsafah besar saya ialah menerapkan permainan menyerang dengan melancarkan serangan dengan cepat tetapi untuk melakukan itu, anda perlu yakin dalam hantaran ke depan."

Solskjaer, yang telah dilantik secara kekal sejak Mac lalu selepas persembahan yang mengagumkan ketika memangku jawatan tersebut berikutan pemecatan Jose Mourinho pada Disember lalu, menambah: "Kami melalui tempoh yang bagus musim lalu menerusi corak permainan pantas, lancar ketika menyerang.

"Tetapi sejak itu, lawan lebih suka bertahan dan cuba menyekat kami daripada melakukannya. Kami tidak diberi ruang mahupun cuba mengatasinya.

"Pemain muda yang tidak berpengalaman cenderung bermain selamat kerana takut membuat kesilapan.

" Di kelab ini, kami lebih suka melihat mereka mengambil risiko kerana kami sedar mereka cukup bagus tetapi jika anda kurang yakin, kadangkala anda terpaksa berfikir dua kali dan bukannya bertindak dengan naluri.

"Permainan bola sepak hari ini amat pantas. Pasukan akan segera bertahan sebaik kehilangan bola dan satu atau dua hantaran mendatar sahaja sudah membuatkan peluang itu hilang.

"Saya ingin kami bertahan dengan baik untuk memenangi semula bola di kedudukan yang baik untuk membolehkan kami melancarkan serangan. Kami perlu memperbaiki sedikit aspek itu," tambahnya.