Ole Gunnar Solskjaer mencabar barisan pemain Manchester United supaya meningkatkan prestasi mereka apabila menentang "pasukan yang lebih kerdil" dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

United mencatat kemenangan ke atas Tottenham dan seteru setempat, Manchester City, dalam tempoh empat hari untuk menghidupkan semula kempen domestik mereka.

The Red Devils juga mengalahkan Chelsea 4-0 pada hari pembukaan musim ini dan merupakan satu-satunya pasukan yang telah menyekat Liverpool daripada melakar kemenangan 100 peratus musim ini.

Bagaimanapun, mereka tewas kepada dua pasukan di bawah kedudukan keenam selain bergelut ketika berdepan Southampton dan Aston Villa.

Bakal berentap dengan pasukan di bawah pertengahan liga, Everton, Watford dan Burnley dalam tiga daripada empat perlawanan liga, pengurus berbangsa Norway itu mengakui perubahan mentaliti adalah aspek yang menjadi tuntutannya.

"Sekiranya ia satu perkara yang berkaitan mentaliti, maka kami boleh menguruskannya," katanya seperti dipetik dalam dalam beberapa akhbar British. "Saya akan berusaha memperbaiki mentaliti anak buah saya.

"Bagi saya, ia mengenai jurang kecil dalam permainan. Beberapa keputusan aneh yang di luar kawalan kami.

"Tetapi jika anda melihat keputusan yang diraih kami sebelum ini, saya tidak akan begitu negatif seperti anda. Saya tidak begitu bimbang tetapi prihatin. Jika pemain memberitahu saya bahawa mereka tidak boleh bangkit dalam perlawanan, maka kami sedang menghadapi masalah.

"Itulah perkara yang perlu saya atasi. Ketika saya bergelar bermain, itulah caranya kami memenangi liga.

"Kami tidak pernah kehilangan mata kepada pasukan yang lebih kerdil, pasukan yang prestasinya tidak begitu baik. Liga Perdana adalah sukar -- jika anda tidak mempunyai mentaliti itu, anda tidak akan merakamkan kemenangan.

"Anda perlu berhak untuk menang. Kadang-kadang anda perlu mendapatkannya dengan cepat, merampas semula bola -- ada cara yang berbeza untuk memenangi perlawanan."

Salah satu kunci kejayaan United ketika menentang Tottenham dan City adalah peningkatan prestasi yang dipamerkan Jesse Lingard, yang sempat ditegur awal tahun ini atas rakaman yang disiarkannya di media sosial.

Lingard memulakan kedua-dua perlawanan tersebut dan Solskjaer gembira dengan cara kebangkitan produk akademi United itu.

"Dia adalah pemain Man United yang sejati," kata Solskjaer. "Dia berseragam merah, mempunyai sikap yang hebat dan kadar kerja yang hebat.

"Setiap pemain mempunyai perkara tertentu untuk ditangani di lapangan dan di luar padang. Apa yang dia harus tangani, itu akan menjadi perkara di antara kami sahaja.

"Anda boleh mengkritik sesiapa sahaja tentang apa jua tetapi bagi saya sebagai pengurus, saya perlu melindungi pemain-pemain ini dalam tempoh yang baik dan buruk.

"Adalah bagus untuk bekerjasama dengannya. Saya meletakkannya di bangku simpanan, saya menurunkannya ketika berdepan Burnley. Adalah menarik untuk melihatnya kembali kepada prestasi asalnya."