Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berpendapat Paul Pogba berkemungkinan akan mengetuai pasukannya pada masa depan.

Pogba, 25, dilucutkan jawatan penolong kapten oleh bekas pengurus United, Jose Mourinho, pada September lalu ekoran hubungan tegang di antara kedua-dua individu berkenaan.

Bagaimanapun, Pogba semakin menyerlah sejak Mourinho dipecat bulan lalu -- bintang juara dunia Perancis itu telah menghasilkan lima gol dan empat bantuan jaringan sejak ketibaan Solskjaer.

Dan Solskjaer -- yang telah memperoleh tujuh kemenangan berturut-turut bersama United -- berkeyakinan Pogba mampu untuk memakai lilitan kapten di Old Trafford.

"Saya sudah mengenalinya sejak kecil lagi dan dia sememangnya seorang pemimpin.

"Dia mempunyai perwatakan, mampu memberikan pengaruh yang besar dan sewaktu berada dalam skuad kebangsaan Perancis, dia menunjukkan kesungguhan untuk berjaya.

"Dia sedar tidak dapat melakukannya seorang diri kerana bola sepak merupakan sukan berpasukan.

"Perawatakan yang dimilikinya banyak mendatangkan kebaikan apabila dia menikmati perlawanan dengan cara yang betul.

"Lihat saja perwatakan yang dimilikinya. Dia amat gembira untuk bermain bola sepak.

"Sukan ini merupakan sebahagian daripada hidupnya.

"Ia merupakan sebahagian daripada dirinya.

"Apabila dia menunjukkan prestasi yang baik, ia selari dengan sifat kepimpinan yang dipamerkannya.

"Itu yang dipamerkannya sewaktu membantu Perancis memenangi Piala Dunia.

"Bagi saya, dia memiliki sikap seorang kapten."

Solskjaer menambah: "Ashley (Young) pernah memakai lilitan kapten kerana Antonio (Valencia) cedera.

"Antonio masih lagi kapten pasukan walaupun Ashley lebih kerap diturunkan.

"Saya tidak gemar untuk menentukan 'anda adalah itu, anda adalah ini'.

"David (De Gea) juga pernah menyarung lilitan kapten ketika Ashley tidak beraksi.

"11 pemain di atas padang adalah kapten.

"Saya tidak mengambil kisah tentang perkara itu.

"Saya pernah menjadi kapten Norway dan adakalanya mengetuai United.

"Namun, saya tidak pernah bercerita kepada anak-anak saya yang saya adalah kapten Norway dan United -- walaupun ia pernah berlaku," katanya.