ATLETICO MADRID 1 ARSENAL 1
(Atletico menang 3-1 menerusi penentuan penalti)

Prospek masa depan Arsenal, Emile Smith Rowe, merakamkan jaringan solo mengagumkan untuk membantu pasukan dari London itu mengikat Atletico Madrid 1-1 dalam Kejohanan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Singapura malam tadi tatkala Unai Emery berpeluang menguji potensi skuadnya.


Pemain tengah menyerang berusia 17 tahun itu memberi kesan besar dalam aksi sulung membabitkan tiga perlawanan pra-musim Arsenal di Singapura dengan membuktikan keupayaannya bahawa dia merupakan salah seorang pemain muda yang paling hangat diperkatakan dengan meledak gol dari luar kotak penalti pada awal babak kedua.

Jaringan itu membatalkan gol pembukaan Luciano Vietto untuk Atletico yang kehilangan tonggak seperti Antoine Griezmann, Diego Godin dan Jose Gimenez, namun masih mampu mengucar-kacirkan pertahanan Arsenal dalam beberapa kesempatan dan dilihat lebih tersusun.

Bagaimanapun, barisan muda Arsenal kecundang dalam penentuan penalti ekoran kegagalan sepakan Joe Willock dan Eddie Nketiah, termasuk Henrikh Mkhitaryan, untuk Atletico menang 3-1.

Emery turut memberi peluang kepada muka baru, Bernd Leno dan Sokratis Papastathopoulos, untuk mengadunkan peranan pemain muda dan berpengalaman sambil Alexandre Lacazette kelihatan bersedia untuk meneruskan rentak baik yang dinikmatinya musim lalu.

Atletico, yang akan menghadapi ujian kompetitif sulung musim ini bertemu Real Madrid dalam Piala Super UEFA pada 15 Ogos nanti, mula memperbaiki permainan mereka dan tidak bernasib baik untuk meledak jaringan kemenangan tatkala pertahanan Arsenal sudah mula kelelahan.

Sementara itu, The Gunners mengekalkan sistem yang serupa dengan yang digunakan Arsene Wenger musim lalu.

Arsenal meletakkan Aaron Ramsey dalam skuad utama dan pemain baru, Matteo Guendouzi, bertindak untuk melindungi lapisan pertahanan sambil Lacazette mempelopori barisan empat penyerang di samping tonggak muda, Reiss Nelson dan Smith Rowe.