Diego Simeone menolak cadangan untuk meninggalkan Atletico Madrid dan mengambil alih tugas sebagai pengurus Everton.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu telah dikaitkan berminat untuk mendapatkan Simeone sebagai pengganti Ronald Koeman yang dipecat, bulan lalu.

Simeone dikhabarkan mahu meninggalkan Atletico selepas tewas dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) kepada Real Madrid pada 2016 dan terdapat spekulasi menyatakan bahawa ini merupakan musim terakhirnya bersama kelab itu.

Bagaimanapun, pengendali berusia 47 tahun itu menegaskan perancangannya untuk terus kekal sehingga tamat kontrak pada tahun 2020.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, masa depan saya adalah Atletico Madrid. Saya akan terus bersama kelab sehingga tamat kontrak, itu sasaran saya," katanya.

Simeone juga menegaskan penyerang, Antoine Griezmann, komited untuk memperbaiki prestasinya dan tidak terganggu dengan khabar angin.

"Dia merupakan seorang pemain yang berkemahiran tinggi dan pemain paling penting untuk skuad ini. Kami berharap dia dapat menemui semula sentuhan terbaiknya," ujarnya