Pemain yang baru ditandatangani Liverpool, Fabinho, tidak akan mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris, kata pemain pertahanan Brazil, Thiago Silva.

Perpindahan Fabinho ke Anfield dari Monaco menerusi yuran dilaporkan € 50 juta (RM230 juta) disahkan semalam.

Pemain kelahiran Brazil berusia 24 tahun itu telah menghabiskan masanya selama lima musim dalam Ligue 1 untuk membantu Monaco meraih gelaran pada 2016-17.

Silva percaya Fabinho hanya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam Liga Perdana.

"Pertama sekali, saya fikir (Fabinho) benar-benar pintar. Dia seorang pemain yang benar-benar teknikal dan saya yakin dia akan menyesuaikan diri dengan Liga Perdana sebaik sahaja dia tiba," katanya dalam sidang media di London, hari ini.

"Dia mengubah posisinya di Monaco, dia sebelum ini bek kanan, kini dia pemain tengah.

"Saya tidak tahu bagaimana (pengurus Jurgen) Klopp akan menggunakannya tetapi saya fikir dia boleh membantu Liverpool," katanya.

Fabinho membuat 34 penampilan liga untuk Monaco musim laludengan menjaringkan tujuh gol dan membuat tiga bantuan jaringan.