Silva sahkan bakal tinggalkan Manchester City 

By Staff Writer 26 June 2019 15134
 Silva sahkan bakal tinggalkan Manchester City 
David Silva akan beraksi dalam musim terakhirnya bersama Manchester City pada 2019-20, demikian umum pemain tengah berpengaruh itu.

Silva, 33, dianggap sebagai pemain terhebat dalam sejarah kelab itu apabila membantu mereka memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan empat Piala Liga Inggeris (EFL).

Bagaimanapun, bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu yang tiba daripada Valencia pada 2010, memutuskan kempen akan datang akan menjadi yang terakhirnya dengan City.

Silva berikrar tidak akan menyertai sebuah lagi kelab Inggeris sebaik kontraknya berakhir. 

"Ini adalah (kontrak) yang terakhir," kata Silva kepada pemberita. "10 tahun untuk saya sudah cukup. Ia adalah detik yang sempurna.

"Pada awalnya, kelab menawarkan kontrak dua tahun tetapi saya memutuskan untuk menandatangani satu lagi dan ia berlanjutan sehingga 10 tahun.

"Ia melengkapkan kitaran (karier saya) dan merupakan angka yang bagus. Saya tidak dapat melihat diri saya mewakili pasukan lain untuk menentang City, jadi cukuplah 10 tahun -- itu sahaja!"

City menyapu bersih kejuaraan domestik musim lalu tetapi masih kempunan kejayaan Eropah tetapi Silva tidak terkilan kerana gagal menjuarai Liga Juara-Juara (UCL). 

"Kami masih gagal mencapai matlamat untuk memenangi UCL tetapi jika setiap tahun saingannya seperti musim lalu, maka saya mahu memperbaharui kontrak sekarang juga," katanya.

"Ketika masih kecil, saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan meraih pencapaian seperti ini, jadi saya lebih gembira dengan apa yang telah saya capai dalam tempoh 10 tahun di City.

"Rasa hormat yang ditunjukkan dan layanan masyarakat di Manchester adalah sukar dipercayai. Itulah yang saya gemari, pengiktirafan yang mereka berikan kepada saya.

"Saya kini mempunyai keluarga dan mereka adalah keutamaan. Saya mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga, saya mempunyai setahun lagi kontrak di Manchester City, jadi kita akan lihatlah apa yang berlaku selepas itu."

Keputusan Silva itu pasti akan mengecewakan pengurus The Citizens, Pep Guardiola, yang pada Januari lalu berharap dapat memujuk pemain kreatif berkenaan untuk menandatangani kontrak baru.

Mengakhiri kerjayanya di kelab kampung halamannya, Las Palmas, sudah lama dalam perancangan Silva, namun dia menyatakan mereka perlu kembali ke LaLiga agar langkah itu menjadi realistik.

"Bukan China," kata Silva tentang destinasi seterusnya. "Saya tidak tahu. Teman wanita saya yang akan membuat keputusan!

"Saya ingin menamatkan kerjaya di Las Palmas tetapi dalam bola sepak, tiada siapa yang tahu. Semuanya bergantung kepada pasukan dan pemain, saya tidak boleh menyertai Las Palmas untuk bermain dalam divisyen dua."

About Author

Staff Writer

Comment