Bintang Manchester City, Bernardo Silva, menegaskan bahawa pasukannya tidak boleh bergantung kepada seteru, Manchester United, yang boleh menawarkan kelebihan buat mereka dalam perlumbaan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

City mendahului Liverpool di puncak saingan dengan perbezaan gol tetapi barisan pemain kendalian Jurgen Klopp itu mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan dan akan bertandang ke Old Trafford, 24 Februari ini.

Bagaimanapun, tatkala Silva menyimpan hasrat untuk melihat Liverpool tercicir mata, fokusnya terarah kepada prestasi City.

"Sudah tentu adalah lebih baik sekiranya mereka tercicir beberapa mata tetapi saya fikir kami semua, bukan sahaja pengurus, malah semua pemain, sepakat untuk memberi tumpuan kepada diri sendiri," katanya kepada media UK.

"Jika kami tidak memenangi perlawanan sendiri, maka apa yang kami lakukan akan menjadi sia-sia. Ketika ini, itulah yang menjadi perkara utama."

City menang tiga perlawanan terakhir liga yang menyaksikan Sergio Aguero melakar hatrik ke atas Arsenal dan Chelsea.

Penggempur itu menyamai rekod Alan Shearer dengan mengumpul 11 hatrik EPL dan semakin hampir untuk muncul sebagai penjaring terbaik City dalam kempen liga.

Silva berasakan tiada apa-apa lagi yang perlu dibuktikan oleh pemain berusia 30 tahun itu dengan berkata: "Saya tidak perlu berkata apa-apa lagi untuk menggambarkannya.

"Dia sudah membuktikannya minggu demi minggu, tahun demi tahun. Kami beruntung mempunyai penyerang sepertinya yang boleh mencetak banyak gol. Saya harap dia terus begitu."